Thursday, January 3, 2019

Murid-murid teruja menyambut PKKO baru.

SK GUAL TO’DEH – Madah pujangga pantun seloka sudah tidak asing lagi takkala majlis yang dikendalikan oleh Cikgu Sharifah Mohamed. Bait-bait pantun sering mencuit hati sesiapa sahaja yang melawat ke SK Gual To’Deh, menjadi penyeri pada majlis itu dan sekaligus memartabatkan budaya berpantun di kalangan orang Melayu. Puitis benar pantun-pantun yang dilontarkan, kena dengan apajua majlis. Begitu jugalah pada majlis hari ini ‘Majlis Menyambut PKKO Baru’ iaitu Cikgu Hjh Normi Binti Salleh.
Cikgu Hjh Normi Bt Salleh berucap ketika Majlis Menyambut PPKO baru di dewan SKGTD. Beliau gembira diberi mandat untuk bertugas di sekolah baru.
Rombongan menghantar ke sekolah baru seperti rombongan pengantin ke rumah mertua. Siap dengan ‘par’ sebagai hantaran dan berbalas hantaran. Secara ritual, adat ini telah lama diamalkan di kalangan masyarakat Melayu mengalu-alukan rombongan dari satu pihak lain. Unik dan menarik. Murid-murid pun dapat melihat aturcara majlis bagaimana adat ‘menghantar’ sebagai sebahagian daripada corak hidup masyarakat Melayu. Keterujaan menyambut kehadiran baru juga diserikan lagi dengan paluan ‘Mini Rebana’ yang terkenal di sekolah ini malah pernah digunakan pada majlis-majlis besar di peringkat PPD dan JPN. Pernah juga dimainkan ketika menyambut kehadiran rombongan dari Sekolah Lubok Gayoh dari selatan Thailand pada suatu masa dahulu.

Inilah adat dan tradisi yang boleh diterapkan kepada murid-murid agar mereka lebih peka dan tahu akan corak hidup masyarakat mereka. Nilai sebegini perlu dipupuk di peringkat rendah supaya kelak mereka akan lebih menghormati budaya dan tradisi masyarakat lain yang menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia. Terdapat kajian yang menunjukkan pertelingkahan di kalangan kaum akibat tidak memahami dan menghormati adat resam satu-satu kaum. Justeru itu, murid-murid perlu selalu diingatkan dan dikawal supaya mereka boleh menerima dan menghormati budaya dan adat resam bangsa lain.

Ketika ucapan pada majlis itu, Cikgu Hjh Normi gembira dapat bertugas di sekolah ini dan berharap dapat menjalankan tugas baru di sini dengan kerjasama dari guru-guru. Besar harapan beliau untuk melihat warga SK Gual To’Deh dapat bersaing di peringkat PPD atau negeri di dalam aktiviti ko kurikulum. Maka, menurutnya beliau tidak boleh bekerja seorang diri sebaliknya guru-guru harus turut sama mengemblingkan tenaga meningkatkan kecemerlangan di dalam ko kurikulum. Beliau teruja dengan sambutan yang meriah pada hari ini. Ucapan terima kasih kepada warga guru juga telah disampaikan olehnya di dalam aplikasi Whatsap.

Pihak sekolah mengucapkan SELAMAT BERTUGAS kepada Cikgu Hjh Normi Binti Salleh, PKKO baru SK Gual To’Deh. Semoga kita dirahmati oleh Allah swt.

Galeri Majlis Menghantar PKKO
Cikgu Hjh Normi Bt Salleh, PKKO baru SK Gual To'Deh sedang memotong riben di hadapan bilik beliau.
Murid-murid menanti kehadiran PKKO baru.
Kumpulan 'Mini Rebana' bersiap-sedia menyambut kedatangan PKKO baru.
Hannan Hadif ketika latihan menyambut PKKO.

Semoga dirahmati oleh Allah swt.

No comments:

Post a Comment

Banjir Hujung Februari 2022