Penglibatan PIBG di dalam bilik darjah.
Penglibatan PIBG di dalam bilik darjah. Apa pendapat anda? |
Artikel 1
SK GUAL TO'DEH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer; penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.
Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.
PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.
Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang diceburi mereka pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment