Setelah beberapa kali tertangguh menziarahi cikgu Mazura, rupanya ada hikmah di sebalik ziarah ini. Dengan tidak semena-mena, cikgu Sharifah M menelefon saya kira-kira pukul 10.30 pagi mengajak saya menziarah cikgu Mazura. Saya terus bergerak ke Meranti tanpa berfikir panjang kerana belum lagi menziarahinya. Selepas menjenguk cikgu Mazura saya sempat berbual-bualnya dengan ayahnya.
KISAH DUA SAHABAT TERPISAH
Bermula alkisah, ayahnya memperihalkan keadaan cikgu Mazura yang semakin bertambah baik. Di dalam perbualan ayahnya ada menyebut tentang pencarian seorang sahabat lama yang juga seorang bekas polis hutan yang bertugas bersama-sama suatu ketika dahulu. Ditanya saya berasal dari mana, lalu saya membalasnya dari Kg Tok Sangkut. Mendengar nama kampung itu beliau terus berkata sahabatnya berasal dari kampung itu bernama Sarjan Man. Katanya, beliau dan rakan pernah mencari sarjan Man tetapi dimaklumkan oleh orang yang tidak dikenali di kampung itu yang menyatakan sahabatnya telah meninggal dunia. Saya cuba mengesahkan siapa sebenarnya sarjan Man yang dimaksudkan oleh beliau. Beberapa soalan saya ajukan dan ternyata jawapanya benar-benar belaka. Maka sahkah sarjan Man yang dimaksudkan oleh beliau adalah ayah saya Othman Bin Yunus (Sarjan Man) yang pernah bertugas di PPH Pengkalan Chepa suatu ketika dahulu. Beliau adalah dibawah pengawasan ayah saya.
Saya terus menyatakan bahawa Sarjan Man yang dicari-cari selama ini adalah ayah saya. Dia masih hidup. Umurnya mencecah 93 tahun. Masih sihat cuma mengalami sedikit masalah jantung. Terkejut beliau mendapat perkhabaran sahabat lama yang dicarinya rupanya ayah kepada rakan anaknya yang berada di hadapannya. Kelihatan raut wajahya sedih dan teruja untuk bertemu kembali sarjan Man. Selepas itu lama kami berborak tentang keadaan ayah saya. Beliau benar-benar ingin bertemu dengan ayah saya.
Masa sangat mencemburui perbualan kami. Saya dan cikgu Sharifah M meminta izin untuk beransur pergi. Insya Allah saya akan temukan dua sahabat yang terpisah lama ini. Setibanya di rumah saya terus bercerita kepada ayah dan beliau terus mengalirkan air mata, ingat akan sahabat lamanya. Ayah masih lagi kuat ingatan. Saya sebut nama Mat Zain di Meranti..dia terus ingat, dan berlinangan air mata. Sayu melihat keadaaan ayah, keadaannya semakin uzur setelah pemergian arwah Ma kira-kira 3 tahun yang lalu. Insya Allah saya akan temukan kedua-dua sahabat lama ini dengan izin Allah swt juga.
Nukilan oleh Matt Kopikarat, Blogger & Volunteer |
No comments:
Post a Comment